Monday 12 November 2012

KAUNSELING PENYALAHGUNAAN DADAH


Pada semester empat, kami pelajar ISMP Bimbingan dan Kaunseling UPSI, batch “REALITI” telah membuat lawatan ke Pondok Remaja Inabah II, Kuala Terengganu, Terengganu. Pada semester lepas, kami mengambil subjek Kaunseling Penyalahgunaan Dadah. Oleh itu, kami pergi ke sana untuk menemuramah penghuni di sana. Pensyarah kami ialah Dr. Mohd Muzafar Shah Bin Mohd Razali.
PROSES RAWATAN DAN PEMULIHAN
1.      Mandi taubat
Mandi taubat atau juga dikenali sebagai hidroterapi adalah kaedah pertama yang dilaksanakan kepada penghuni di pondok ini. Hidroterapi atau terapi air adalah kaedah rawatan menggunakan air sama ada panas, suam, sejuk, wap atau ais untuk melegakan sengal-sengal badan dan meningkatkan kesihatan fizikal.
Mandi taubat ini hendaklah dilaksanakan sekurang-kurangnya empat puluh hari tanpa henti. Sekiranya mandi tersebut terhenti sebelum cukup empat puluh kali, maka mandi tersebut akan diulangi semula dengan angka kosong. Mandi tersebut juga mestilah dilaksanakan sebelum masuk waktu solat subuh setiap hari. Setiap kali mandi tidak kurang empat puluh gayung disertai empat puluh kali bacaan doa dengan ayat al-Quran surah al-Mu’minun ayat 29. Terjemahan daripada doa surah tersebut bermaksud “Dan berdoalah dengan berkata: ‘Wahai Tuhanku, turunkanlah daku ditempat turun yang berkat, dan Engkau adalah sebaik-baik Pemberi tempat.”
Namun begitu, terdapat juga kesan sampingan akibat daripada mandi taubat ini. Pengamalnya akan mudah mengalami selesema, batuk kecil, dan sakit kepala.
2.      Amalan Solat
Amalan solat dilaksanakan terutamanya solat-solat sunat. Solat-solat ini ditunaikan menggunakan fahaman Imam Syafie dalam agama Islam. Solat ini dilaksanakan bermula pada pukul tiga pagi dengan solat sunat taubat, hajat, tasbih, dan witir. Seterusnya pada pukul lima pagi pula dilaksanakan solat fardu Subuh, sunat isroq, istiadah, dan istikharah. Pada pukul sembilan pagi dilaksanakan solat sunat dhuha. Pada waktu petang solat fardu Zohor dan Asar. Manakala selepas solat fardu Magrib pula akan dilaksanakan solat sunat awwabin dan solat fardu Isya’ bersama solat sunat mutlaq, hajat, dan istikharah. Terdapat papan tanda di Pondok Inabah yang menulis tentang jadual harian solat-solat tersebut. Papan itu diletakkan di dalam surau tempat mereka mengerjakan ibadah tersebut.

3.      Berzikir
Berdasarkan penerangan yang diberikan oleh ustaz yang merawat penghuni di Pondok Inabah, terdapat pelbagai zikir yang diamalkan di pondok ini termasuklah tasbih, tahmid, takbir, tahlil, baca al-Quran, dan sebagainya. Oleh itu dapat dikatakan bahawa zikir merangkumi dua perkara iaitu sebutan dan ingatan terhadap Allah. Ingatan adalah hakikat zikir manakala sebutan itu pula adalah laluan untuk mencapai ingatan tersebut. Dari satu sudut, zikir terbahagi kepada dua bahagian iaitu zikir hasanah dan zikir darajah. Zikir hasanah ialah zikir yang dilakukan bertujuan mendapatkan ganjaran atau pahala di sisi Allah di akhirat nanti. Manakala zikir darajah pula ialah zikir yang dilakukan bertujuan membersihkan hati dan meningkatkan tahap kejernihannya, bukan semata-mata bagi mendapatkan pahala. Oleh itu, perbezaan utama di antara zikir hasanah dan zikir darajah adalah terletak pada tujuan utama zikir itu dilakukan.
4.      Majlis Ilmu
Kaedah rawatan yang seterusnya pula ialah dengan mengadakan majlis ilmu termasuklah ceramah. Ceramah-ceramah yang disampaikan lebih menekankan tentang akhlak peribadi mulia yang diterapkan dalam Islam mengikut sunnah Rasulullah s.a.w. Tenaga pengajar tersebut terdiri daripada pensyarah-pensyarah di universiti tempatan yang telah dijemput oleh pihak Pondok Inabah. Mereka ialah Dr. Abdul Manaf dan Dr. Sudirman. Menghadiri majlis ilmu akan memberikan ketenangan kepada penghuni dan dapat menghalang mereka daripada mengingati dadah. Mereka juga akan memperolehi rahmat daripada Allah dan nama mereka akan disebut-sebut oleh Allah.
5.      Aktiviti Sosial
Di samping itu, penghuni Pondok Inabah II juga menjalankan aktiviti sosial dalam aktiviti seharian mereka. Antaranya ialah mereka membersihkan kawasan sekolah tidak kira sekolah menengah atau rendah. Mereka juga membantu orang-orang kampung yang mengadakan kenduri kahwin seperti membasuh pinggan, menghidangkan makanan, dan lain-lain. Selain itu, mereka juga kerap menziarahi serta membantu jika ada berlaku kematian dalam masyarakat. Aktiviti sosial lain yang sering mereka jalankan adalah membersihkan kawasan kubur. Contohnya penghuni Pondok Inabah pernah membersihkan kawasan kubur di daerah Marang dan Setiu, Terengganu.



No comments:

Post a Comment