Tuesday 13 November 2012

PERKEMBANGAN PERSONALITI

Pada semester dua, kami batch “Realiti” pergi melawat ke Raudhatul Sakinah untuk menyelesaikan kerja lapangan bagi tugasan subjek “Perkembangan Personaliti”. Pensyarah kami ialah Encik Che Anuar bin Che Abdullah.

KISAH PENGAJARAN DARIPADA TEMURAMAH...
Amy (bukan nama sebenar), berusia 18 tahun. Amy  merupakan anak yatim dan tinggal bersama ibunya dan dua orang abang. Amy mengakui bahawa dia merupakan anak yang degil. Dia lebih takut kepada abangnya berbanding ibunya sendiri. Contohnya abangnya melarang dia keluar dari rumah tanpa izin.
Amy boleh berada di Raudhatul Sakinah kerana ibunya yang menghantarnya ke situ. Ibunya terpaksa berbuat demikian kerana Amy sudah mengandung anak luar nikah. Tindakan ini bagi menjaga maruah keluarga Amy dan mengelak daripada pandangan buruk oleh masyarakat sekeliling. Hal ini akan menggugat diri dan kandungan Amy. Oleh itu, keputusan yang terbaik ialah dengan tinggal di Raudhatul Sakinah. Pada masa itu, Amy sudah tinggal selama tujuh bulan di Raudhatul Sakinah. Masalah Amy bermula apabila dia mula terpengaruh dengan rakan-rakan yang mempunyai pasangan kekasih. Selain itu, Amy juga cemburu apabila abangnya mempunyai telefon bimbit. Oleh itu, ibu Amy menghadiahkan telefon bimbit kepadanya dengan syarat dia menggunakan untuk perkara-perkara yang berfaedah. Kesannya, pergaulan Amy terlalu bebas dengan lelaki bukan mahram disebabkan hal ini.
Amy mula mengenali pasangan kekasihnya ketika di tingkatan empat. Mereka bergelar pasangan kekasih selama lebih kurang dua tahun. Akhirnya berlakulah hubungan seks luar nikah antara mereka berdua. Hasil daripada hubungan tersebut telah menyebabkan wujudnya satu nyawa baru di dalam perut Amy. Setelah mengetahui dirinya hamil, pelbagai perasaan yang wujud dalam diri Amy, gembira, takut, dan sebagainya. Tambahan pula pada tahun berkenaan Amy akan menduduki peperiksaan SPM. Amy telah memberitahu pasangannya tentang perkara tersebut dan mereka berdua mengambil keputusan untuk lari dari rumah. Seperti yang diceritakan oleh Amy, mereka berdua mengumpul duit untuk melarikan diri tetapi malangnya duit tersebut telah hilang di tangan pasangan Amy.
Akhirnya mereka menemui jalan buntu dan terpaksalah juga mereka memberitahu ahli keluarga masing-masing. Keluarga di sebelah pihak lelaki terpaksa redha dengan kejadian yang berlaku dan mereka sanggup untuk menjaga anak yang ada dalam kandungan Amy. Manakala ibu kandung Amy sendiri tidak dapat menerima hakikat yang anaknya sudah mengandung dan sanggup menyuruh Amy menggugurkan kandungannya. Selepas itu, keluarga kedua-dua belah pihak telah berbincang dan membuat keputusan untuk menghantar Amy ke Raudhatul Sakinah. Manakala bayi yang bakal dilahirkan akan dijaga oleh keluarga di sebelah pihak lelaki. Perkara yang paling menyedih ialah Amy terpaksa menarik diri daripada mengambil peperiksaan SPM kerana kandungannya yang sudah sarat.
Selepas itu, Amy masih berhubung dengan keluarga kandungnya dan keluarga pihak lelaki. Walaupun ibunya masih memarahinya tetapi ibunya tetap menyayangi Amy dan bayi yang dilahirkan. Setelah tujuh bulan berada di Raudhatul Sakinah, Amy merasakan dirinya lebih dekat dengan Allah berbanding dahulu. Banyak ilmu-ilmu agama yang dipelajari dan diamalkan di situ. Amy berharap apabila dia keluar dari Raudhatul Sakinah nanti, dia dapat melanjutkan pelajarannya yang tertangguh dan menceburi dalam bidang pekerjaan yang diminati. Perkara yang paling penting ialah dia dapat mendirikan rumah tangganya sendiri dengan lelaki tersebut dan menjaga anaknya sendiri. Amy juga mengharapkan dia dapat melupakan perkara-perkara buruk yang pernah berlaku dalam hidupnya dan tinggal dalam keluarga yang penuh dengan kasih sayang.



No comments:

Post a Comment