Sunday 11 November 2012

HALANGAN DALAM KAUNSELING

Halangan yang paling besar semasa menjalankan proses kaunseling ialah komunikasi yang tidak berkesan antara klien dan kaunselor.  Halangan dalam kaunseling boleh menyebabkan sesuatu sesi kaunseling tidak dapat berjalan dengan lancar.  Di samping permasalahan dasar terdapat juga permasalahan psikologi yang menjadi halangan dalam kaunseling.  Menurut Ibrahim (2002), halangan yang besar sekali dalam kaunseling adalah komunikasi yang tidak efektif antara klien dan kaunselor.   
Halangan-halangan komunikasi yang wujud boleh dikenal pasti melalui ciri-ciri kaunselor seperti bersifat memerintah atau mengarah.  Kaunselor yang memerintah menunjukkan ciri-ciri paksaan terhadap klien untuk menjalankan sesi kaunseling. Pada masa ini, kaunselor tidak menunjukkan ciri-ciri professional yang mana kaunselor perlu sabar dan mendengar cerita klien dengan teliti.  Apabila kaunselor menunjukkan reaksi memerintah, klien akan berasa takut, malah klien akan mengambil keputusan untuk tidak melanjutkan sesi tanpa memulakannya sekalipun. 

Halangan dalam kaunseling juga adalah apabila kaunselor mendengar secara memilih.  Kaunselor hanya berminat pada cerita-cerita klien yang agak menarik sebaliknya apabila tiba cerita tentang diri klien, kaunselor mula menunjukkan kebosanan.  Hal ini akan menyebabkan klien berasa bahawa kaunselor tidak menumpukan tumpuan kepada penceritaannya. Klien juga beranggapan bahawa kaunselor tidak berminat untuk membantunya sebaliknya hanya berminat untuk mendengar cerita yang menarik sahaja.Maka, kaunselor tidak dapat untuk mengetahui punca sebenar permasalahan klien. 
Seterusnya ialah kaunselor kerap mencelah atau menyampuk. Hal ini akan menyebabkan penceritaan klien menjadi tersekat dan terganggu.  Klien tidak mendapat kepuasan untuk bercerita dan sesi tidak dapat berjalan dengan lancar.  Klien juga akan berasa bosan dan marah kerana kaunselor tidak menghormatinya dan bertindak terburu-buru.  Klien juga tidak dapat bercerita dengan lancar dan terasa tidak selesa untuk menyambung penceritaan.
Di samping itu, halangan dalam proses kaunseling berlaku apabila kaunselor kerap memberi arahan dan mengkritik.  Sikap ini menunjukkan bahawa kaunselor memilih dalam menjalankan sesi kaunseling.  Apabila kaunselor memberi arahan, klien akan berasa seolah-olah dia disuruh untuk bercerita walaupun dalam keadaan yang tidak sedia.  Apabila klien mula bercerita, kaunselor dengan mudahnya mengkritik klien. Hal ini akan menyebabkan klien berasa bersalah dan dia akan merasakan bahawa segala masalah yang berlaku adalah disebabkannya.   
Masalah dalam proses kaunseling juga adalah apabila semasa sesi kaunseling dijalankan, fikiran kaunselor menerawang dan tidak fokus. Kaunselor hilang tumpuan mendengar dengan teliti masalah klien dan mengenalpasti masalah klien.  Kaunselor seakan-akan malas dan tidak suka untuk menjalankan sesi. Manakala, klien akan berasakan bahawa kaunselor tidak mahu mendengar masalahnya dan kaunselor seperti tidak menyenangi kehadirannya. Selain itu, kaunselor gemar menyindir atau memuji klien secara berlebihan. Hal ini akan menyebabkan klien berasa tidak selesa dan terasa hati.   
Masalah seterusnya ialah kaunselor gemar menyiasat dan membuat penghakiman awal yang mana kaunselor akan menyalahkan klien sekiranya dia melakukan kesalahan.  Pada masa ini, klien akan berasa dirinya dipersalahkan dan mendapat kritikan dan kutukan daripada kaunselor.  Proses kaunseling akan tergantung kerana klien akan bertindak untuk berdiam diri dan tidak meneruskan penceritaan. Klien juga terganggu apabila kaunselor gemar dan kerap memberi nasihat. Kaunselor hanya tahu memberi nasihat, menyuruh dan melarang klien melakukan sesuatu.  Klien akan berasa terikat dan tidak dapat menyelesaikan masalahnya. 
Masalah seterusnya yang melibatkan halangan dalam sesi kaunseling adalah masalah klien resisten atau klien menentang.  Klien resisten bermaksud klien yang tidak mahu menerima perubahan. Menurut Sapora (2002), kaunselor boleh melihat keengganan klien menetapkan matlamat melalui perkara-perkara seperti klien bersikap acuh tidak acuh dan sambil lewa dalam melakukan kaunseling tersebut. Selain itu, klien tidak percaya bahawa matlamat sangat penting dalam kaunseling yang mana klien tidak ada harapan atau fictional fundalism dalam hidupnya.  Klien enggan juga melibatkan apabila klien memerlukan masa untuk berfikir dalam kaunseling dan klien tidak faham tujuan matlamat.  Klien sengaja mengambil masa yang panjang dan  melengahkan masa untuk menjalankan sesi kaunseling. 
Brammaer (1999), ciri-ciri klien resisten ialah klien mengkritik kaunselor atau proses kaunseling. Dia sengaja menduga kemahiran kaunselor dan memandang negatif aktiviti kaunseling. Selain itu, klien sengaja datang lambat ataupun gagal menghadiri sesi kaunseling. Malah, klien berdiam diri dan berfalsafah serta ingin menunjuk pandai dalam sesi kaunseling juga merupakan ciri-ciri klien resisten.  Klien sengaja tidak mahu bersuara dan sukar untuk bercerita kerana dia tidak begitu mempercayai kaunselor.  Klien juga memiliki ego yang sangat tinggi dan sukar dirobohkan. 
Bagi ahli teori behaviorisme, resisten merujuk kepada tingkahlaku yang tidak memberi perhatian.  Terapi behaviorisme menganggap resisten pada klien berpunca daripada perasaan takut sekiranya dia cuba mengubah tingkah lakunya. 
Lima jenis resisten dalam behaviorisme ialah :
1.      klien tidak faham apa yang hendak dilakukannya
2.      klien faham apa yang hendak dilakukan tetapi tidak dapat melaksanakannya kerana kurang mahir.
3.      klien tidak rela, tidak bermotivasi hendak menyelesaikannya.
4.      klien tidak berupaya melakukan sesuatu kerana berasa takut atau bersalah
5.      klien mendapat pengukuhan apabila bertingkahlaku yang menimbulkan masalah.   
Antara contoh tingkah laku resisten yang biasa dihadapi oleh kaunselor adalah seperti klien enggan bercakap, klien tidak memberi kerjasama, klien tidak menepati janji, klien terlalu kerap menggunakan helah bela diri, klien memanipulasi kaunselor, klien mengubah atau tidak menepati matlamat awal dan klien lambat datang ke sesi kaunseling.  


PEMINDAHAN DAN PEMINDAHAN BALIK
(TRANSFERENS AND COUNTER TRANSFERENS)
Pemindahan dan pemindahan balik ini merupakan satu situasi yang seringkali dialami oleh kaunselor baru mahupun kaunselor yang sudah pun lama berkecimpung dalam profesion ini. Menurut Freud (1975), pemindahan terjadi apabila klien memprojekkan emosi dan perasaannya kepada kaunselor kerana ia menganggap dan merasakan kaunselor ini berperanan seperti ibu bapa atau orang yang signifikan dengannya.
Contoh yang dapat dilihat untuk situasi ‘transference’ ialah seperti klien menjadikan kaunselor sesuatu yang klien tidak ada. Bermaksud di sini klien menjadikan kaunselor sebagai ibu bapa yang mereka tiada dan sering menginginkannya. Selain itu, sesetengah klien juga menganggap kaunselor mampu menjaga dan dapat menyelesaikan masalah mereka. Sebaliknya, terdapat juga klien yang tidak mempercayai kaunselor kerana kaunselor tersebut mengingatkan mereka tentang bekas suami atau isteri atau individu yang penting dalam hidup mereka. Tambahan lagi, ‘transference’ ini juga dapat kita lihat dalam situasi seperti klien membuat permintaan yang tidak realistik kepada kaunselor
Selain itu, klien tidak dapat menerima batasan yang telah di tetapkan oleh kaunselor. Hal ini berlaku disebabkan ekoran daripada klien yang membuat permintaan yang tidak realistik kepada kaunselor. Contoh permintaan realistik ialah klien bertanyakan kaunselor pernah tak kaunselor mengalami perkara yang sama seperti mana yang di alami oleh klien. Selain itu, klien juga melihat kaunselor sebagai overprotective parent dan dalam masa yang lain klien menganggap sebagai ibu bapa yang kejam. Di mana klien  menganggap bahawa kaunselor sangat mengongkong dirinya seperti mana kedua ibu bapanya.
Masalah lain, klien menjadikan kaunselor sebagai tempat kemarahan. Hal ini banyak berlaku kepada klien yang dirujuk kerana mereka pergi mendapatkan khidmat kaunseling adalah disebabkan keterpaksaan dan bukan dengan kerelaan hati klien tersebut. Klien melihat kaunselor dalam membina hubungan menolong tidak mempunyai hak untuk mengekspress  semuanya.
Selain itu, masalah lain yang dihadapi oleh kaunselor ialah klien mudah jatuh hati kepada kaunselor. Hal ini boleh menyalahi etika kaunselor kerana mengikut etika kaunseling kaunselor tidak boleh jatuh hati kepada klien. Klien jatuh hati kepada kaunselor di sini adalah disebabkan klien merasakan bahawa kaunselor merupakan objek kasih sayang ataupun tempat untuk mereka meluahkan apa yang terpendam oleh klien.
 

1 comment: